Mencipta dunia yang berpaksikan semangat kekitaan
Misi Airbnb.org adalah untuk memanfaatkan kelebihan perkongsian ruang, sumber dan sokongan pada saat memerlukan. Tetapi tidak semua orang ada akses yang sama kepada sumber-sumber ini. Itulah sebabnya kami telah membuat komitmen terhadap kepelbagaian, kesaksamaan, penerimaan, dan kemudahan akses yang mendasari kerja kami saban hari.
Komitmen DEIA teras kami
Pada bulan April 2021, Airbnb.org mengumumkan tiga komitmen utama kepada kepelbagaian, kesaksamaan dan penerimaan. Komitmen ini membentuk hubungan kami dengan tetamu dan hos; kerjasama kami dengan organisasi bukan untung dan agensi kerajaan; dan pasukan Airbnb.org kami sendiri.
Sebagai sebuah organisasi, kami berikrar untuk:
- Memusatkan program dan usaha kami kepada individu daripada komuniti terpinggir yang mengalami akses terhad kepada sumber akibat penindasan sosial, budaya, ekonomi dan politik sejak sekian lama.
- Berusaha untuk memastikan mana-mana tetamu yang datang melalui Airbnb.org mengalami kualiti perkhidmatan dan penginapan yang sama.
- Membina pasukan yang pelbagai dan inklusif; yang termasuk, sebagai titik permulaan, bahawa menjelang penghujung tahun 2025 sekurang-kurangnya 33 peratus pekerja AS kami akan terdiri daripada golongan minoriti yang kurang diwakili.
Pada tahun 2022, kami mengangkat keperluan untuk memasukkan kemudahan akses sebagai sebahagian penting ikrar kami; kami akan mengemas kini ikrar kami mengenai perkara ini pada tahun 2023.
Berikut adalah cara kami melaksanakan ikrar kami
Untuk memenuhi komitmen DEIA semasa kami, kami:
- Bekerjasama dengan organisasi berasaskan komuniti dan organisasi bukan untung yang berkongsi komitmen kami kepada kesaksamaan. Apabila krisis berlaku, pasukan kami berusaha untuk bekerjasama dengan organisasi tempatan yang berkhidmat untuk komuniti terpinggir. Baru-baru ini kami bekerjasama dengan organisasi seperti:
- Each One Teach One, yang menyokong orang kurang upaya dan warga bukan Ukraine yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik di Ukraine
- Black Women for Black Lives, yang menghubungkan 2,000 pelajar Afrika di Ukraine dengan penginapan percuma di luar negara
- ORAM, anak syarikat Alight, yang membantu golongan LGBTQ+ yang melarikan diri dari Ukraine mendapatkan perumahan dan sokongan sosial di Berlin dan bandar-bandar Eropah lain
- Berkerjasama dengan pakar kepelbagaian dan kesaksamaan terkemuka untuk membantu kami menilai dan meningkatkan usaha kami dalam komitmen ini. Rakan kongsi asas ialah We All Count, sebuah organisasi yang menggalakkan pendekatan penyelidikan yang berfokuskan kesaksamaan. Pada tahun 2022, mereka membantu Airbnb.org menjalankan kajian rintis untuk lebih memahami pengalaman yang dihadapi oleh golongan yang telah menemui penginapan sementara melalui Airbnb.org apabila berlaku krisis. Dengan input ini, kami merancang pendekatan kami untuk memantau kemajuan kami dan memastikan kami memenuhi komitmen kami.
- Menerapkan kaedah reka bentuk berpusatkan kesaksamaan ke dalam usaha kami.. Penceritaan sedar trauma dan prinsip reka bentuk berpusatkan kesaksamaan kami menjadi panduan untuk kami mencipta cerita secara bersama tentang usaha yang kami lakukan dengan tetamu, hos dan rakan kongsi kami. Kami bekerjasama dalam membuat keputusan kreatif, menghormati pilihan bahasa orang ramai dan cara mereka memilih untuk diwakili secara visual.
- Memastikan komitmen kami terhadap kesaksamaan diperluaskan kepada kakitangan. Matlamat kami, menjelang penghujung tahun 2025, adalah untuk sekurang-kurangnya 33 peratus pekerja AS kami akan terdiri daripada golongan minoriti yang kurang diwakili. Kami mentakrifkan golongan minoriti yang kurang diwakili di AS sebagai mereka yang mengenal pasti diri sebagai satu atau lebih kaum/etnik berikut: Orang Asli India Amerika atau Alaska; Orang Kulit Hitam atau Afrika-Amerika; Hispanik atau Latinx; Orang Asli Hawaii atau Kepulauan Pasifik yang lain.
Apabila kami membuat komitmen ini pada asalnya, golongan minoriti yang kurang diwakili merangkumi 19 peratus daripada kakitangan sepenuh masa kami. Sehingga 30 September 2022, golongan minoriti yang kurang diwakili merangkumi 28 peratus daripada kakitangan sepenuh masa Airbnb.org. Kami tahu ia memerlukan usaha berterusan untuk melibatkan, mengekalkan dan meningkatkan bakat yang pelbagai untuk terus mendapat manfaat daripada perspektif yang pelbagai, dan kami akan terus mengutamakan kesaksamaan dalam pengambilan dan pengekalan kakitangan.
Kami komited untuk membayangkan cara baharu untuk memusatkan kesaksamaan dalam kerja kami, memberi impak kepada komuniti yang telah mengalami krisis, dan membantu mewujudkan dunia yang berpaksikan semangat kekitaan dan penyembuhan.